comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Calon BN Parlimen Alor Setar akan saman MB Kedah

 

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Tan Chee Hiong akan memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Saman akan difailkan kerana Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS mendakwa Chee Hiong menjadi punca perniagaan bapanya jatuh bankrap.

Kenyataan itu tegasnya, merupakan tuduhan jahat yang tidak betul, dan merosakkan nama beliau dalam tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Beliau telah membuat satu kenyataan dengan niat yang jahat, bagi menjatuhkan reputasi saya. Tindakan ini boleh mempengaruhi pengundi untuk tidak mengundi saya.”

“Sekiranya menang, segala wang pampasan yang ditentukan oleh mahkamah akan dimasukkan dalam satu tabung khas bagi membantu pengundi kurang bernasib baik di Parlimen ini,” katanya.

Chee Hiong turut mempamerkan dokumen dari Jabatan Insolvensi Malaysia yang membuktikan bapanya tidak bankrap sebagai bukti.

Tambahnya, perniagaan kedai perkakasan diambil alih saudara selepas bapanya bersara susulan terlibat dengan 3 pembedahan sejak tahun 2016.

Tindakan Muhammad Sanusi itu disifatkan menikam belakang kerana Menteri Besar Kedah itu mengenali keluarganya kerana berasal dari kawasan yang sama.

“Secara peribadi, saya rasa sedih kerana sebagai seorang pemimpin beliau tidak seharusnya melakukan perkara yang bersifat fitnah. Kita tahu beliau sering mengeluarkan kenyataan yang bersifat kontroversi tetapi tidak sangka saya dan keluarga terpalit sama.”

“Saya mengambil tindakan ini bagi menjaga maruah saya dan keluarga,” katanya dalam sidang media di Pejabat MCA Alor Setar di sini.

Saman itu katanya akan diserahkan selepas PRU-15.

Turut hadir, Penasihat MCA Kedah, Tan Sri Chor Chee Heung dan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Loading...
Terkini