comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Calon ‘Friends of BN’ & calon bebas komited tawan Pulau Pinang

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PULAU PINANG: Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan 4 calon ‘Friends of BN’ buat kali pertama bertanding menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Di Pulau Pinang menyaksikan 3 calon dari ahli gabungan BN itu bertanding merebut kerusi parlimen Nibong Tebal, Jelutong dan Bukit Bendera.

Antaranya, Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran, T Loganathan dari Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Razalif Mohamad Zain dari Parti Cinta Malaysia (PCM).

Namun, PCM menukar calon di kerusi parlimen Bukit Bendera kepada Ketua Pemuda Pusat, Richie Huan Xin Yun sehari selepas pengumuman calon BN awal bulan lalu.

Razalif bagaimanapun akan terus bertanding sebagai calon bebas atas desakan penduduk bukit bendera.

“Bagi nelayan di Bukit Bendera ni saya telah kerja dari 2018, kita bagi sumbangan sedikit sebanyak dan juga ketika waktu COVID-19, kita memberi elaun kepada mereka.

“Saya juga memberi sumbangan seperti kotak makanan sepanjang tempoh berkenaan sehingga ke hari ini melalui NGO (Badan Bukan Kerajaan) saya sendiri sejak 2018,” katanya kepada Buletin TV3.

Jelasnya, pengundi terutamanya golongan nelayan mahukan pemimpin yang mampu mengangkat martabat dan nasib mereka dalam Dewan Rakyat.

Ketika ditanya adakah beliau akan menyertai mana-mana parti selepas diberikan mandat oleh rakyat, beliau akan mempertimbangkan untuk menyertai BN bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan dominan.

Dalam pada itu, calon BN Jelutong, T Loganathan masih meneruskan kempen rumah ke rumah kerana percaya ia lebih berkesan bagi membawa kemenangan kepada parti itu.

“Bila saya datang di sini, masyarakat di sini, UMNO, MIC, MCA di sini menerima saya dengan terbuka menjadikan saya salah seorang ahli keluarga Jelutong,” katanya.

Tegasnya, beliau akan terus berkempen di parlimen itu dan jika diberikan mandat, presiden IPF itu akan membangunkan semula infrastruktur di kawasan berkenaan.

Loading...
Terkini