comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Calon guna gelaran, nama unik di laman web SPR

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Nama unik dan gelaran setempat yang sering dipanggil penduduk menjadi pilihan calon bertanding di kerusi Parlimen untuk dipaparkan dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya sebaik selesai borang penamaan calon dihantar, hari ini.

Pemilihan nama itu kemungkinan antara strategi calon yang bertanding untuk memudahkan pengundi mengenali mereka berbanding menggunakan nama sebenar.

Antara yang mendapat perhatian adalah gelaran rasmi bagi calon Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menggunakan nama Tok Mat dalam borang penamaan calon.

Selain itu, calon bebas Parlimen Puchong, Kuan Chee Heng memilih menggunakan nama Uncle Kentang yang sememangnya sinonim dan lebih dekat dengan orang ramai yang mengenali gelarannya berbanding nama sebenar.

Selebriti Lando atau nama penuhnya Azlan Sani Zawawi bertanding mewakili Pejuang di Tanjong Karang pula menggunakan nama Lando Brotherhood.

Nama unik lain yang dipapar di laman web SPR adalah calon bebas Sungai Buloh yang menggunakan nama Sifu Linda berbanding nama sebenarnya Norhaslinda Basri.

Sementara itu, penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang sebelum ini menang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pula memilih nama Dato’ Che Lah (DCL) dan beliau bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Penyandang Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memilih menggunakan nama Kak Lah manakala Exco Kelantan yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi menggunakan nama Dato’ Kak Taz.

Antara nama unik serta gelaran setempat calon lain yang bertanding termasuk calon BN di Parlimen Kubang Kerian, Nurul Amal Mohd Fauzi menggunakan nama Kak Long, calon Parlimen Pengkalan Chepa dari Pakatan Harapan (PH), Nik Faizah Nik Othman memilih nama Kak Jah sementara calon bebas di kerusi sama, Mohamad Redzuan Razali menggunakan nama Abe Wae.

Gelaran cikgu turut menjadi pilihan calon yang bertanding antaranya Aminul Huda Hassan mengggunakan nama Cikgu Huda (PH) di Parlimen Sri Gading dan Fairulnizar Rahmat memilih Cikgu Imam Nizar (PN) di Parlimen Pengerang.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini