comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Calon MUDA wakil PH di Masjid Tanah

Pengumuman calon PH di Masjid Tanah oleh Pengerusi PH negeri, Adly Zahari.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka, melengkapkan senarai calonnya apabila menamakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Mutalib Uthman, untuk bertanding di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengumuman dilakukan Pengerusi PH negeri, Adly Zahari pada majlis pengenalan calon di Bukit Katil hari ini.

Anak kelahiran Bota, Perak, berusia 40 tahun itu adalah calon terakhir diumumkan PH bagi kerusi Parlimen keenam di negeri itu pada pilihan raya kali ini.

Menurut Adly, meskipun bukan anak tempatan namun pemilihan Mutalib sebagai calon PH di Parlimen Masjid Tanah dianggap tepat.

Calon PH di Masjid Tanah, Mutalib Uthman.

Beliau yakin pengundi di Masjid Tanah akan memilih Mutalib berdasarkan latar belakangnya dalam bidang penerbitan dan aktif sebagai aktivis.

“Dengan pengalaman beliau dan taraf pendidikannya, saya yakin dia boleh membantu membangunkan Masjid Tanah.

“Saya tak fikir isu bukan anak tempatan akan mempengaruhi pemikiran pengundi,” katanya.

Adly yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata, pemilihan calon luar di sesuatu kawasan pilihan raya adalah perkara biasa yang turut diamalkan parti lain.

Dengan pengumuman itu, Mutalib bakal diberi saingan sengit oleh penyandang kerusi parlimen berkenaan, Datuk Mas Ermiyatie Samsuddin dan calon Barisan Nasional (BN), iaitu Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Pada PRU-14, Datuk Mas Ermiyatie memenangi kerusi itu menerusi tiket BN dengan memperoleh 22,898 undi.

Beliau menewaskan calon PKR, Datuk Dr. Sabirin Jaafar dan calon PAS, Nasir Othman yang masing-masing mendapat 14,739 dan 4,688 undi.

Loading...
Terkini