comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15 : Calon PAS Perlu Dapat Pengesahan Majlis Syura – Abdul Hadi

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR : Semua calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, calon kemudian perlu berbaiah sebagai pengikat kesetiaan terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

“PAS berusaha memenuhi syarat-syarat itu dengan menapis semua nama calon yang dicadangkan bertanding pada pilihan raya,” katanya dalam kiriman di Facebook, sebentar tadi.

Abdul Hadi berkata, PAS pernah menubuhkan satu Jabatan Hisbah diketuai Allahyarham Tun Mohamed Salleh Abas dan membuat persediaan untuk memperkasakan undang-undang syariat Islam.

Namun, katanya, usaha itu dihalang oleh bidang kuasa kerajaan negeri yang terbatas dan bidang kuasa kerajaan Pusat yang membatalkannya.

“Maka tujuan PAS bagi mewujudkan kerajaan yang bersih dan stabil terhalang ketika itu.

“Bagaimanapun, sehingga kini PAS berjaya membuktikan kerajaan yang bersih daripada rasuah apabila memerintah dengan kuasa yang terbatas di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ia termasuk mengemudi beberapa kementerian yang ditugaskan kepada PAS mulai tahun 1974 hingga 1978 ketika menyertai kerajaan campuran pada era Allahyarham Tun Abdul Razak dahulu dan terkini dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Abdul Hadi berkata, semua kerajaan negeri ditadbir oleh PAS bersih daripada tuduhan rasuah dan terbuka kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, keadaan itu sangat berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di beberapa negeri dan peringkat Pusat yang ternyata mempunyai tuduhan rasuah, malah dihentikan perbicaraan dan siasatannya.

“Dalam Barisan Nasional (BN) juga ada yang dihukum, didakwa dan diseret dengan tuduhan rasuah ke mahkamah, tetapi tidak dibatalkan kes mereka seperti mana PH.

“PN yang disertai PAS belum terbukti adanya mereka yang dikenakan tuduhan dan tiada pula yang dibawa ke mahkamah,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini