comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Calon wanita di Kedah mahu tunjangi politik khidmat

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Dunia politik jika suatu masa dahulu memperlihatkan wanita sekadar membantu melakukan kerja parti, namun situasi kini tidak lagi begitu.

Ramai pemimpin wanita mula ditonjolkan seiring peranan mereka yang lebih signifikan dalam sesebuah organisasi politik.

Dilihat membawa sentuhan yang lebih mesra dan inklusif, calon wanita menjadi aset kepada parti politik yang mereka wakili.

Landskap politik di Kedah menyaksikan lebih ramai calon wanita mula ditonjolkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Barisan Nasional (BN) menjadi tonggak dalam soal ini apabila menampilkan empat orang calon sekaligus melengkapkan kouta 30 peratus wanita dalam senarainya.

Membuat penampilan semula setelah berehat selama dua penggal, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim antara yang mencuri tumpuan apabila dipilih menjadi calon di Kuala Kedah.

Membesar di Kuala Kedah ketika bapanya menjadi guru di sekolah sekitar, Dr mashitah sedar bahawa isu meningkatkan kualiti hidup perlu dijadikan fokus khidmat beliau jika dipilih menjadi wakil rakyat.

“Di Kuala Kedah ini kita ada kluster nelayan, petani dan usahawan wanita. Mereka ini mempunyai produk yang unik namun tidak ada keupayaan untuk memasarkan produk itu.”

“Pembangunan jeti Kuala Kedah menjadi hub pelancongan dirasakan mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung yang akhirnya membawa limpahan ekonomi kepada penduduk di sini. Produk hiliran hasil tani dan laut dapat dipasarkan dengan lebih luas,” katanya.

Datuk Shahanim Mohammad Yusoff pula dipilih untuk mewakili BN di Parlimen Sungai Petani buat kali kedua.

Beliau yang tewas pada PRU-14 bagaimanapun yakin, khidmat berterusan yang diberikan kepada masyarakat pelbagai kaum di parlimen itu mula mencambah keyakinan pengundi.

Ini termasuk mengusahakan peruntukan RM300,000 bagi menambaikbaik fasiliti di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam yang menjadi lokasi masyarakat Hindu berkumpul saban tahun pada hari Thaipusam.

“Peruntukan ini sudah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. Tahun hadapan, kita jangka masyarakat Hindu yang meraikan Thaipusam akan merasai kemudahan yang lebih selesa.”

“Kita telah membantu lebih 3,000 keluarga di kawasan parlimen ini sepanjang tempoh dua tahun kita berdepan pandemik COVID-19,” katanya.

Bagi penyandang kerusi Parlimen Merbok Nor Azrina Surip (Pakatan Harapan), kepercayaan diberikan partinya untuk kekal bertanding di kerusi itu adalah bagi memastikan beliau mampu untuk menyelesaikan masalah yang tertangguh.

“Fokus kita adalah bagi menyelesaikan sesuatu yang tidak selesai. Yang mana baik, akan kita pertahankan.”

“Sebagai contoh isu air yang sangat kritikal di parlimen Merbok. Di pihak saya, perkara ini sudah dibawa ke peringkat Dewan Rakyat bagi mendapatkan bajet. Khidmat saya selepas ini adalah bagi terus memperjuangkan masalah penduduk di Merbok ini.”

Nada sama disuarakan Calon BN Parlimen Pendang, Datuk Suraya Yaacob yang mahu wanita diberikan pertimbangan untuk mewakili masyarakat di peringkat yang lebih tinggi.

“Lihat mereka sebagai satu peluang untuk mewarnai politik negara dan membantu merubah banyak dasar yang lebih mesra kepada wanita secara keseluruhannya.”

Untuk rekod, seramai 7 calon wanita bertanding di Kedah pada PRU-15.

BN menampilkan 4 calon, PH (2) dan Parti Warisan (1).

Pertembungan 2 calon wanita berlaku di kerusi parlimen Sik melibatkan Maizatulakmam Othman (BN) dan Datuk Latipah Md Yatim (PH).

Warisan pula menampilkan calonnya, Noraini Md Salleh di kerusi parlimen Pokok Sena.

Loading...
Terkini