comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Cawangan Bersatu Pulau Perhentian terkubur

Nawi Mohamad (tiga dari kanan) bersama ahli BERSATU yang keluar parti dengan menyertai parti BN ketika program bersama penduduk di Kampung Pulau Perhentian. FOTO: GHAZALI KORI

Besut: Hanya tinggal nama.

Itu yang dapat dikatakan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Pulau Perhentian apabila ketua dan semua ahlinya beramai-ramai keluar parti untuk menyertai Umno serta Barisan Nasional (BN).

Bekas Ketua Cawangan BERSATU Pulau Perhentian Nik Faizal Mat Saman, 50, berkata, keputusannya meninggalkan parti sebulan lalu membawa kepada 125 ahli lain turut serta berbuat demikian.

Menurutnya, keputusan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai UMNO dibuat kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan di peringkat Bahagian Besut dan pimpinan Pusat.

“Selepas hampir sepenggal saya bersama BERSATU, saya melihat parti ini tidak dapat membantu kebajikan ahli di peringkat bawahan.

“Di pulau ini sendiri, tiada apa kemudahan diberikan kepada saya dan ahli. Malah, mahu buat perjumpaan atau mesyuarat terpaksa diadakan di kedai makan saja,” katanya.

Beliau ditemui selepas program turun padang calon kerusi Parlimen Besut Datuk Nawi Mohamad, bersama penduduk di perkampungan Pulau Perhentian di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Nik Faizal dan yang lain diumumkan menyertai Umno selain gimik penyerahan bendera BN daripada Nawi turut diadakan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Tengku Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Sementara itu, Nawi berkata, penyertaan Nik Faizal dan semua bekas ahli BERSATU diharap dapat menambah kekuatan jentera BN di pulau berkenaan sekaligus membantu meningkatkan undi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) . – HARIAN METRO

Loading...
Terkini