comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Cikgu Mazlina sekali lagi cuba nasib di DUN Santan

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Meskipun pernah tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu, pesara guru, Che Mazlina Che Yob sekali lagi mencuba nasib untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan.

Mesra dengan panggilan Cikgu Mazlina, Calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Wanita PH Perlis itu berjanji untuk memperjuangkan nasib ibu tunggal dan ibu ‘tinggal’ sekiranya mendapat mandat rakyat pada 19 November nanti.

“Strategi cikgu telah bermula sejak kalah pada PRU-14 lalu, ketika itu walaupun kalah cikgu tetap berkempen dengan pelbagai cara dan salah satunya ialah jualan 3 barang pada harga RM10.

“Impaknya sangat besar kepada golongan wanita dan B40, dari situ cikgu percaya penduduk mulai kenal siapa cikgu Mazlina,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sebagai anak jati yang membesar di Perlis, beliau sudah ‘masak’ dengan latarbelakang sosioekonomi, keperluan dan kepentingan penduduk di kawasan itu.

Justeru, pemerkasaan ekonomi wanita menjadi agenda utama yang akan dibawa beliau sepanjang tempoh berkempen.

“Diakui Perlis adalah negeri yang bersempadanan dengan Thailand, ada yang berkahwin di sana (Thailand) bila pulang tidak mendaftar perkahwinan dan akhirnya membawa kepada masalah antaranya ibu tinggal.

“Golongan begitu (ibu tinggal) tiada apa-apa bantuan untuk mereka, sama juga ibu tunggal yang masih perlukan pembelaan, jadi cikgu bercadang mewujudkan satu produk keluaran mereka untuk dipasarkan.

Cikgu Mazlina akan bersaing dengan 2 calon dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Santan melibatkan penyandangnya, Azizan Sulaiman yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon muka baharu, Muhammad Azmir Azizan mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU-14 lalu, Cikgu Mazlina yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat tewas kepada Azizan yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 949 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Loading...
Terkini