comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Dicabar 6 calon, cabaran besar buat Khairy

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SUNGAI BULOH : Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menyifatkan persaingan dengan enam pencabar lain di P107 Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan yang paling sukar dalam karier politiknya.

Namun, beliau optimis untuk menawan kerusi tersebut yang merupakan kubu kuat pembangkang sejak 2008

“Semestinya bagi saya satu persaingan yang sengit. Bagaimanapun saya terima cabaran ini dan tidak sabar untuk berjumpa pengundi Sungai Buloh dan saya harap mereka akan beri saya peluang untuk menerangkan perancangan saya di Sungai Buloh ini.

Khairy Jamaludin pada penamaan Calon PRU 15 di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling bagi penamaan Calon P107 Parlimen Sungai Buloh. –
Foto: NSTP

“Ia bukan mudah, mungkin ini yang paling mencabar dalam karier politik saya.” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Kenanga Pusat Penamaan calon P107 Sungai Buloh, di sini, siang tadi.

Parlimen Sungai Buloh turut menyaksikan calon dari Perikatan Nasional PN, Mohd Ghazali Md Hamin dan calon Pakatan Harapan PH, Datuk R. Ramanan.

Selain calon Pejuang, Mohd Akmal Mohd Yusoff, calon Parti Rakyat Malaysia PRM, Ahmad Zuflis Faiza serta dua calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri.

Sementara itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa satu undi untuk dirinya di kawasan berkenaan bersamaan satu undi untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, Khairy menjelaskan calon Perdana Menteri yang dipilih oleh BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Satu undi untuk Khairy Jamaluddin adalah satu undi untuk KJ di Sungai Buloh.”

“Naratif ini mesti diperjelaskan sekarang juga dan calon Perdana Menteri BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.”

“Saya akan mendukung Datuk Seri Ismail sebagai PM seperti mana yang diumumkan oleh Datuk Seri Zahid sendiri. Tiada kekeliruan di situ,” katanya.

Berdasarkan rekod PRU-14 lalu, kerusi berkenaan dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa yang beroleh majoriti besar 26,634 undi.

Calon BN ketika itu, A Prakash Rao meraih 16,681 undi, juga tewas ditangan calon PAS, Ustazah Nuridah dengan memperolehi 16,997 undi.

Loading...
Terkini