comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Dua ahli Parlimen Bebas dari Sabah isi kerusi Dewan Rakyat

Verdon menang di kerusi Parlimen Kudat. – Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Dua calon Bebas mencipta kejutan apabila masing-masing memenangi kerusi Parlimen Kudat dan Tenom pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sabah, semalam.

Datuk Verdon Bahanda di kerusi Parlimen Kudat dan Riduan Rubin di kerusi Parlimen Tenom menjadi dua ahli Parlimen di seluruh negara yang berstatus Bebas pada penggal Parlimen kali ini.

Verdon yang juga pemilik dan pengerusi kelab bola sepak Kinabalu Jaguar FC (KJFC) menewaskan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan majoriti 1,967 undi.

Ruddy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas, hanya memperolehi 14,356 undi berbanding Verdon yang mendapat 16,323 undi.

Turut tewas dalam persaingan lima penjuru di kerusi berkenaan ialah calon Parti Warisan (Warisan), Rashid Abdul Harun (9,421 undi); calon Pakatan Harapan (PH), Thonny Chee (4,726 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Petronella Usun (282 undi).

Riduan menewaskan penyandang kerusi berkenaan yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Noorita Sual dengan majoriti 1,108 undi. – Foto: NSTP

Sementara itu di kerusi Parlimen Tenom, Riduan menewaskan penyandang kerusi berkenaan yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Noorita Sual dengan majoriti 1,108 undi.

Riduan memperolehi 10,027 undi, berbanding Noorita yang menyandang kerusi itu sejak 2018 hanya 8,919 undi.

Turut tewas dalam persaingan lima penjuru di kerusi itu ialah calon Barisan Nasional (BN), Jamawi Jaafar (8,625 undi); calon Warisan, Ukim Buandi (992 undi) dan seorang lagi calon Bebas, Peggy Chae Zhi Ting (86 undi).

Riduan, 30 adalah bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tenom yang meletak jawatan sebelum penamaan calon PRU-15 awal bulan ini.

Beliau juga adalah anak kepada Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang yang juga Penyelaras GRS Parlimen Tenom. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini