comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: DUN Sarawak bersidang mulai 21 November

KUCHING: Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 dijangka diadakan dua hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selesai, bulan depan.

Mengesahkan perkara itu, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar berkata, persidangan yang ketiga selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) itu dijangka diadakan hingga penghujung November.

Menurutnya, beliau akan memaklumkan lebih lanjut berhubung persidangan DUN Sarawak itu 20 November ini.

“Persidangan DUN Sarawak akan diadakan pada 21 November dan saya akan mengadakan sidang media sehari sebelumnya bagi memaklumkan peraturan mesyuarat, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) serta usul penting yang akan dibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini.

Antara tumpuan utama pada persidangan itu nanti ialah pembentangan Belanjawan Negeri Sarawak 2023.

Mesyuarat kedua bagi penggal pertama persidangan DUN Sarawak diadakan pada 17 sehingga 26 Mei lalu dengan istiadat pembukaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Tiga RUU Perbekalan Tambahan (2022), 2022; RUU Kanun Tanah (Pindaan), 2022; dan RUU Hutan (Pindaan), 2022 diluluskan pada persidangan itu. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini