comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Elok Rafizi selesaikan dulu masalah dalaman PKR – Wan Saiful

Bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya (dua dari kanan) bersalaman dengan calon PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan (dua dari kiri) – FOTO: NSTP / Nur Izzati Mohamad

TASEK GELUGOR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyelesaikan masalah dalaman parti itu terlebih dahulu sebelum membuat pendedahan dakwaan kepincangan dan rasuah dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan sebarang pendedahan mahupun teguran daripada calon Parlimen Pandan berkenaan.

“Saya mengalu-alukan sebarang pendedahan yang ingin dibuat yang pastinya tindakan Rafizi dilihat sedang mencabar autoriti Presidennya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak pernah lagi saya tengok parti seperti itu (cabar Presiden) tetapi kita alu-alukan sahaja teguran yang beliau mahu buat, walaupun bagi kita mungkin elok beliau selesaikan masalah parti beliau dahulu,” katanya.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Rafizi malam tadi yang mahu mendedahkan apa yang didakwanya kepincangan dan rasuah bernilai berbilion ringgit yang membabitkan pimpinan UMNO, BERSATU dan PAS ketika di bawah PN, esok.

Wan Saiful yang juga Calon PN di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-15, ditemui di Bilik Gerakan PN Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Turut hadir bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang tidak dicalonkan semula, Datuk Shabudin Yahaya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, penerimaan penduduk Tasek Gelugor terhadapnya amat memberangsangkan dan positif.

“Sokongan yang diberikan amat menggalakkan dan saya memang seronok dengan suasana di sini.

“Ada juga pengundi yang kita temui mengaku mereka adalah penyokong PAS dan apabila dimaklumkan saya mewakili parti itu mereka menerimanya secara terbuka,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini