comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Empat muka baru bersaing rebut kerusi Parlimen Shah Alam

Empat calon muka baharu di Parlimen Shah Alam (dari kiri) Azli; Muhammad Rafique, Hizatul Isham dan Afif. – Foto: NSTP/RUWAIDA MD ZAIN

SHAH ALAM: Empat calon muka baharu bakal merebut kerusi Parlimen Shah Alam (P108) yang pernah disandang parti pembangkang tiga penggal berturut-turut sejak 2008.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini, kerusi Parlimen yang digelar sebagai ‘hati’ negeri Selangor itu menampilkan empat calon lelaki yang kali pertama bertanding dengan pelbagai latar belakang.

Calon Barisan Nasional (BN), Hizatul Isham Abdul Jalil yang tiba pada jam 8.15 pagi menjadi pembuka tirai penamaan calon P108 di perkarangan Dewan Besar Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, di sini pagi ini.

Beliau yang lengkap mengenakan baju Melayu biru bersamping diiringi kira-kira 200 penyokong parti dengan melaungkan ‘Hidup BN’ dan menyanyikan lagu ‘Ini Barisan Kita’.

Kira-kira lima minit kemudian, kelihatan pula calon Pakatan Harapan (PH), Azli Yusof bersama penyokong yang memakai baju merah dengan melaungkan ‘Reformasi’

Selepas itu, calon Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin hadir bersama kira-kira 200 penyokong dengan melaungkan ‘Takbir’ dan ‘Allahuakbar,’ manakala Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) tiba pada jam 9 pagi memakai baju Melayu putih di perkarangan dewan berkenaan.

Bagaimanapun seorang calon Bebas yang didakwa turut bertanding tidak muncul sehingga tempoh penyerahan borang penamaan calon ditutup.

Proses Penamaan Calon PRU-15 Parlimen Shah Alam diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Shah Alam, Asmah Mohd Zin berjalan lancar meskipun keadaan cuaca di luar dewan mendung.

Kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad yang bertanding atas tiket PAS pada PRU-12 dan PRU-13 .

Pada PRU-14, beliau yang bertanding tiket AMANAH di bawah PH memperoleh 55,949 undi menewaskan calon BN dan PAS. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini