comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Exco, ADUN jangan abai tugas hakiki ketika kempen – KM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Semua Exco dan wakil rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak mengabaikan tugas hakiki di sebalik keghairahan mereka membantu kempen calon parti.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, walaupun beliau secara dasarnya tidak melarang mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) terlibat dalam kempen calon, sebagai pemimpin mereka harus bijak membahagikan masa.

“Saya yakin exco-exco saya akan buat kerja mereka seperti biasa, turun ke padang turun di lapangan (bantu kempen) itu tugas biasa tetapi sebelah malamnya kalau mereka ada masa yang lapang dan luar daripada tugas hakiki maka itu terserah.

“Tak ada masalah (kempen), mereka kena pandai bahagikan masa dan yang penting adalah laksana dahulu tugas hakikinya menjaga portfolio yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak binaan Masjid Tambak Paya, Ayer Molek di sini hari ini.

Hadir sama, calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Beliau turut ditanya adakah wakil rakyat dan exco wajib mengambil cuti untuk membantu kemenangan calon.

“Tak timbul (kena minta cuti), cuba tanya Pulau Pinang, yang tak bubar DUN ni, mereka masih lagi kerajaan, dia tak bubar, tanya Kelantan Terengganu macam mana mereka.

“Kita macam tu juga, tapi tugas hakiki itu adalah penting bukan sahaja Melaka, negeri lain juga terlibat (berkempen),” katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini