comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: GRS-BN Umum calon minggu ini

GRS dan BN membentuk kerjasama untuk PRU-15 bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri. Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah yang membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka mengumumkan calon masing-masing pada 1 atau 2 November ini.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata pengumuman itu dibuat selepas semua rundingan dan perbincangan mengenai agihan kerusi dan nama calon selesai sepenuhnya.

Beliau berkata, secara umumnya pembahagian kerusi di antara GRS dan BN sudah selesai, namun ada beberapa perkara perlu dimuktamadkan, khususnya berkaitan pertukaran kerusi di antara kedua-dua gabungan berkenaan.

“Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini sudah mengumumkan bahawa pembahagian kerusi hampir selesai.

“Kalaupun ada, hanya satu atau dua kerusi (belum selesai), itupun lebih kepada cadangan pertukaran bukan kerana jumlah.

“Kita menjangkakan akan mengumumkan calon mungkin pada 1 atau 2 November, iaitu minggu depan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Kepada Sekolah-sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah, hari ini.

GRS dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), manakala BN Sabah merangkumi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Loading...
Terkini