comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Hanya sekadar ramalan, tunggu 19 November

Hishammuddin turun berkempen bersama calon BN Parlimen Pagoh, Razali Ibrahim di Pusat Komuniti Grisek. – FOTO: Hishamuddin Hussein / Facebook

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

TANGKAK: Dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, yang kononnya Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi sebahagian besar kerusi Parlimen khususnya Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya sekadar ramalan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penentuan siapa yang bakal memenangi PRU-15 hanya bakal ditentukan oleh rakyat pada 19 November ini.

“Apa yang penting, kita tunggu 19 November ini. Saya nak ingatkan, ramalan-ramalan Rafizi ini, kadang-kadang bila menjadi, dia ambil kredit, tapi apabila ramalan yang dia buat tak menjadi, orang lupa.

FOTO: Hishamuddin Hussein / Facebook

“Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata PH boleh menang 100 kerusi, kemudian Rafizi pula kata boleh menang 80 kerusi. Dia dan Anwar pun tidak nampak ada persefahaman,” katanya ketika turun berkempen bersama calon Barisan Nasional Parlimen Pagoh, Datuk Seri Razali Ibrahim di Pusat Komuniti Grisek di sini, hari ini.

Rafizi semalam mendakwa, Pakatan Harapan yakin menyapu bersih 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, selain 19 daripada 22 kerusi di Selangor pada PRU-15.

Beliau berkata pihaknya turut menjangkakan PH bakal melakukan kejutan besar di Negeri Sembilan, selain berpotensi memenangi 13 hingga 15 kerusi di Johor.

Katanya, bacaan itu diperoleh berdasarkan kajian syarikat tinjauan awamnya, Invoke Malaysia, dengan mengambil kira situasi semasa.

Ketika ditanya mengenai adakah calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri masih merupakan calon untuk menjadi Perdana Menteri, beliau berkata keputusan tersebut sudah ditentukan parti.

“Bukan saya tentukan, dari dahulu lagi parti sudah buat pendirian. Sekiranya ada apa-apa perubahan, perkara itu masih tidak sampai kepada saya lagi.

“Yang penting nak jadi Perdana Menteri kita kena menangkan parti kita dahulu”, katanya.

Loading...
Terkini