comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Helmy positif tawan kembali Muar

Foto: Helmy Abd Latiff/Facebook

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

MUAR: Memasuki hari ke 10 tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Muar, Mohd Helmy Abd Latif sudah menyantuni lebih separuh daripada keseluruhan pengundi pelbagai peringkat usia khususnya golongan muda.

Calon berusia 41 tahun itu berkata, sepanjang melakukan aktiviti turun padang, pelbagai maklum balas daripada orang ramai diterimanya mengenai kehendak dan permasalahan dihadapi mereka.

“Mana-mana sahaja tempat orang berkumpul, saya menyantuni mereka, saya memperkenalkan siapa saya, dari mana saya berasal dan rata-rata pengundi menerima baik kerana mereka merindukan orang Muar untuk menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya juga tidak sangka kehadiran saya sangat diterima baik dan mereka mengalu-alukan kedatangan saya. Ramai beritahu bahawa mereka rasa bertuah kerana calon bertemu sendiri dengan mereka untuk melihat sendiri permasalahan dan terharu dengan kehadiran saya di setiap majlis mereka anjurkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk merampas kembali kerusi Parlimen berkenaan, Helmy berkata, beliau positif berdasarkan sentimen rakyat di Muar yang mahukan calon tempatan.

Katanya, kebanyakan pengundi ditemuinya mengharapkan limpahan ekonomi dan pelaburan asing bagi meningkatkan lagi taraf hidup penduduk sekitar.

“Pada mereka satu cara atau pendekatan yang mereka harapkan selama ini memandangkan sudah lama mereka memerlukan wakil rakyat yang berasal dari sini.

Pada PRU-15, Helmy berdepan saingan tiga penjuru membabitkan calon MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga penyandang kerusi terbabit dan calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Hussin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar menggunakan logo PKR dengan majoriti 6,953 undi. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini