comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Idris Jusoh tetap dihormati walau dia serang peribadi saya – Rosol Wahid

Datuk Rosol Wahid bertemu penduduk di Pusat Khidmat DUN Manir

Oleh:Mohd Ishak Abdillah Ngah

Hulu Terengganu: “Saya tetap menghormati beliau sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik, namun untuk mengatakan saya berjiwa UMNO walaupun bersama PAS, itu hanyalah satu provokasi politik, kata calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid terhadap tuduhan bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh yang disifatkannya timbul kerana tiada modal kempen untuk menyerangnya secara peribadi.

“Saya anggap itu adalah provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan kepimpinan dan penyokong PAS.

“Sekarang ini saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek.

“Setakat ini Alhamdulillah, sejak menceburkan diri dalam bidang politik pada 1999, saya tidak terpalit sebarang isu seumpamanya. Jadi parti lawan terpaksa mencari-cari isu untuk melemahkan saya,” katanya ketika lawatan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.

Idris semalam dilaporkan mendakwa kononnya Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah individu yang berjiwa UMNO, walaupun kini bersama PAS.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi itu turut membuat tuduhan bahawa, PAS Hulu Terengganu berat hati bekerja untuk memenangkan calon berkenaan.

Mengulas lanjut Rosol berkata, Idris juga antara individu yang maklum dan merestui penghijrahannya menyertai BERSATU selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti yang memberikan sokongan kuat bagi memastikan kemenangan PN pada PRU-15.

“Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen  termasuk ke lubuk UMNO sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, InsyaAllah.”

Loading...
Terkini