comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Isytihar harta hanya pada musim PRU gimik politik – Muhyiddin

Calon PN Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin

BATU PAHAT: Pengisytiharan harta oleh calon yang bertanding pada pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanyalah gimik politik semata-mata.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata terdapat cara yang betul untuk mengisytiharkan harta seseorang.

“Saya telah berbuat demikian ketika saya menjadi menteri dan Perdana Menteri atau memegang jawatan awam, anda perlu mengisytiharkan harta anda tetapi apabila anda adalah entiti swasta, anda tidak perlu berbuat demikian.

“Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemaknya atau meminta Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkannya kepada badan pencegah rasuah.

“Sebagai menteri, ia wajib tetapi selain itu ia hanya gimik politik yang cuba mendakwa calon itu miskin dan pengundi harus mengundi orang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Santai Anak Muda Johor, di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan ketika bersama Pakatan Harapan (PH) adalah masa paling jahil beliau dalam politik.

Katanya, ketika itu beliau adalah Menteri Dalam Negeri selama 22 bulan dalam pemerintahan PH berkuasa.

“Selepas 22 bulan, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, negara mengalami masalah dan saya perlu menyelamatkannya.

“Kami meninggalkan PH menyebabkan kerajaan tumbang. Mereka mahu memanggil saya pengkhianat biarlah tetapi saya tidak mengkhianati bangsa, agama dan negara saya,” katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun membentuk kerajaan, PH tidak mampu melaksanakan manifestonya dengan Dr Mahathir berkata ia bukan kitab suci.

“Kita juga menerima tekanan hebat daripada DAP yang mahu kerajaan pada masa itu menangkis Akta Hasutan.

“Akta ini melindungi Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara serta hak Melayu dan bahasa Melayu,” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang cuba menafikan dirinya seorang pengkhianat selepas terbabit dengan ‘Langkah Sheraton’.

Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin selaku Pengerusi BERSATU cuba mengaitkan dirinya dalam isu berkenaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini