comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Izuddin yakin undi awal memihak BN di Setiawangsa

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Setiawangsa optimis, undi daripada badan beruniform, khususnya anggota tentera dalam kawasan Parlimen berkenaan, akan memihak kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak, berkata keyakinan itu bersandarkan momentum sokongan yang ditunjukkan mereka terhadap kerajaan.

“Saya melihat pasukan beruniform di Parlimen Setiawangsa menyokong kerajaan. Mereka mahu sedikit perubahan dan mahu sebuah kerajaan yang stabil.

“Kerana mereka sedar apabila negara berada dalam kancah tidak stabil, ia akan merumitkan mereka dalam menjalankan kerja dan tugasan seharian,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri satu majlis jamuan makan malam di Setiawangsa, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Setiawangsa, berkata BN amat menghargai peranan dan sumbangan besar warga tentera dalam menjamin serta memastikan keselamatan rakyat terjaga.

Parlimen Setiawangsa menempatkan lebih 10,000 pengundi dalam kalangan anggota tentera, sekaligus dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan calon BN jika mereka memilih parti itu pada hari mengundi awal bagi PRU ke-15 Selasa ini.

Dalam pada itu, Izudin berkata, BN sudah mengenalpasti beberapa permasalahan setempat penduduk di Parlimen itu dan sudah merangka beberapa penyelesaian selepas ini.

“Saya rasa sedikit kerumitan mengenai masalah tempat letak kereta sebab di sini banyak perumahan PPA (Perumahan Penjawat Awam) dan PPR (Projek Perumahan Rakyat). Jadi jalan sempit serta bermasalah untuk mereka.

“Saya berjanji untuk cuba memohon kepada pihak berkuasa bagi kerja-kerja melebarkan jalan dan menambah tempat letak kereta bertingkat di kawasan sekitarnya,” katanya.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen itu dimenangi Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, dengan majoriti 14,372 undi dan beliau kini sekali tampil mempertahan kerusi berkenaan.

Nik Nazmi ketika itu menewaskan calon BN, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique yang memperoleh jumlah undi 20,099 dan calon PAS, Ubaid Abd Akla, yang meraih 6,282 jumlah undi.

Pada PRU kali ini, Parlimen Setiawangsa menyaksikan perlawanan enam penjuru antara parti Pakatan Harapan (PH), Barisan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) termasuk dua calon bebas.

Izuddin dan Nik Nazmi akan ditentang Bibi Sunita Sakandar Khan dari parti PEJUANG,Lim Yen Tiong (BEBAS), Mior Rosli Mior Mohd Jaafar (BEBAS) dan Nurul Fadzilah Kamaluddin (PN). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini