comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: “Jangan ada pisau dibelakang jika ingin jalin persahabatan”

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Tindakan Perikatan Nasional (PN) meletakkan empat calon di Sarawak dilihat seperti tidak ikhlas dan jujur untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS)

Ini kerana tindakan itu berbeza dengan persefahaman yang dipersetujui sebelum ini ketika bersama-sama membentuk sebuah kerajaan yang stabil di peringkat persekutuan.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun setiap parti yang bertanding pada PRU-15 bebas meletakan calon masing-masing mengikut kesesuaian parti, namun beberapa aspek perlu dipertimbangkan termasuk keharmonian perhubungan dalam gabungan kerjasama terbabit.

“Kalau didepan kita berbaik selepas itu dibelakang kita ada pisau, ia tidak menunjukkan kejujuran dalam perhubungan. Saya hanya dapat melihat daripada perspektif itu.

“Kalau kita betul-betul mahu berkawan, kita berkawan dengan jujur. Kita jangan sekejap macam itu, sekejap macam ini, sekejap mengatakan bahawa kita bersama-sama tetapi dari segi tindakan susulan tidak menunjukkan kawan atau semangat itu ada nampak,” katanya kepada Buletin TV3 di Kuching.

Beliau berkata, tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakan calonnya di Sarawak harus dihormati kerana ia jelas melambangkan keikhlasan gabungan itu untuk terus menjalin kerjasama dengan GPS.

Katanya, GPS yang sebelum ini memberikan sokongan dan bersama PN dan BN dengan niat untuk menstabilkan suasana politik Malaysia dan perkara sama turut dilakukan oleh kedua gabungan terbabit.

Bagaimanapun beliau percaya gabungan parti dari Semenanjung Malaysia itu sama ada PN atau BN akan mengenepikan peranan mana-mana gabungan parti yang berkuasa di Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh selepas PRU-15.

Perkara itu kerana tiada gabungan parti yang berupaya membentuk satu dominasi yang manpan tanpa mengambil kira peranan parti daripada kedua negeri berkenaan.

Loading...
Terkini