comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Jangan ‘tukar perjuangan’ kerana kecewa tak terpilih, Tuan Ibrahim ingatkan ahli PAS

Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: Ahli Pas diingatkan agar tidak “bertukar perjuangan” semata-mata kerana tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan semua pihak agar menerima apa juga keputusan pimpinan parti dengan berlapang dada.

“Jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih. Kekal bersama jemaah, kerana hidup bukan hanya hari ini.

“Ambillah dan renungilah sejarah perjuangan parti yang panjang ini. Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan, lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat daripada pandangan jemaah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pembahagian kerusi sudah selesai dan hanya menunggu pengumuman.

Perikatan Nasional (PN), gabungan dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) dijadual mengumumkan senarai calon PRU-15 8 malam ini.

Tuan Ibrahim turut meminta jentera parti tidak berpecah dalam memastikan kemenangan calon PN.

“Jangan banyak nakhoda. Pengarahan biar satu sahaja. Masa ni bukan nak cari kelemahan dan kesalahan. Tapi nak tutup kelemahan dan bina reputasi positif dalam kalangan pengundi.

“Bila kita dah buat keputusan, melalui puluhan perbincangan, perundingan, perbahasan maka tawakallah kepada Allah. Semoga Allah beri kemenangan kepada PN,” katanya.

Loading...
Terkini