comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: ‘Jumlah aset bersih defisit hampir RM40,000, saya tiada masalah untuk mengakuinya ‘ – Calon MUDA Parlimen Kepala Batas

Danial menunjukkan dokumen senarai harta dan hutang

Oleh: Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Parlimen Kepala Batas, Danial Abdul Majeed mengisytiharkan hartanya bernilai RM62,927.01, manakala liabiliti berjumlah RM102,146.00 setakat 30 September 2022.

Danial berkata pengisytiharan harta calon pilihan raya merupakan janji MUDA kepada rakyat Malaysia, sebagai langkah menunaikan janji berkenaan.

“Saya mengisytiharkan harta saya dengan bertujuan meletakkan satu piawaian yang tinggi bagi mewujudkan politik yang lebih telus dan berintegiri di Malaysia.

“Ini merupakan komitmen utama MUDA dan saya sendiri selaku calon untuk menjadi ahli politik yang bebas daripada rasuah,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama MUDA di Bertam, di sini, petang tadi.

Katanya, asetnya merupakan kereta Perodua Axia dan motosikal Yamaha Y15 bernilai RM53,300.00, simpanan dalam tiga akaun bank berjumlah RM3125.31, manakala akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula berjumlah RM6,501.

Manakala, liabilitinya pula adalah hutang dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) (RM23,349), baki pinjaman peribadi RM35,090 dan RM2,786 di dua bank, baki kad kredit (RM7727.00), baki pinjaman kereta (RM27,694.00) dan pinjaman motosikal (RM5,500), yang membawa kepada jumlah RM102,146.00.

Katanya, kesemua aset berkenaan dimiliki sebelum bergiat aktif dalam politik.

“Ini juga bermakna harta saya adalah defisit RM39,218.99. Saya tiada masalah untuk mengakuinya kerana ia adalah kedudukan kebanyakan belia dalam golongan B40 dan M40 yang mula bekerja di negara ini.

“Kami terpaksa mengambil pinjaman kereta, motosikal, bayar hutang PTPTN dan juga terpaksa mengambil pinjaman peribadi untuk perbelanjaan mustahak dan kecemasan. Pendapatan rendah buat golongan belia adalah sebahagian daripada agenda saya dalam Pilihan Raya
Umum ini,” katanya lagi.

Ujar Danial lagi, dia hanya sempat membuat pengisytiharan harta sehari sebelum hari pengundian kerana terlalu sibuk dalam kempen, di mana terpaksa menemui lebih 80,000 pengundi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun tetap bertekad untuk menyempurnakan tugas itu bagi memastikan politik di Kepala Batas bersih dan bebas daripada rasuah.

“Saya telah memulakan kempen seminggu awal sebelum penamaan calon. Sebab itu, saya tiada masa untuk mencukupi untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak bank dan juga mengangkat sumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah, namun saya dapat selesaikan semua hari ini.

“Saya juga menggesa calon-calon lain di Parlimen Kepala Batas untuk menyahut cabaran saya dan mengisytiharkan harta masing-masing,” katanya.

Loading...
Terkini