comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Jumlah calon Bebas meningkat hampir empat kali ganda

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika sidang media Urusan Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Putrajaya. FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jumlah calon Bebas untuk kerusi Parlimen naik mendadak pada PRU-15 iaitu hampir empat kali ganda daripada 24 orang pada PRU-14 kepada 108 calon.

Tiada calon Bebas untuk kerusi Parlimen di Labuan.

Parti lain yang turut menghantar calon adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (WARISAN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagi peringkat DUN pula, BN mempertaruhkan 117 calon, masing-masing 116 calon bagi PH dan PN, PEJUANG (45 calon) manakala Bebas (24 calon).

Secara keseluruhan, 1,386 calon diisytihar layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Berdasarkan kedudukan semasa penamaan calon yang dipaparkan di ‘dashboard’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 945 calon layak bertanding untuk 222 kerusi Parlimen iaitu peningkatan 287 orang berbanding 687 calon layak bertanding pada PRU-14.

Selain itu, 441 calon layak bertanding bagi tiga DUN iaitu Pahang, Perak dan Perlis, serta PRK DUN Bugaya.

Jumlah calon daripada Pakatan Harapan (PH) paling tinggi di peringkat Parlimen iaitu seramai 220 calon termasuk enam calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), diikuti Barisan Nasional (BN) seramai 178 calon.

Jumlah keseluruhan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pula adalah 171 calon manakala 125 calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) termasuk sembilan calon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Terdahulu dalam sidang akhbar urusan penamaan calon, SPR menolak enam kertas pencalonan melibatkan empat kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon dibuka di seluruh negara bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi hari ini untuk bakal-bakal calon mengemukakan kertas penamaan mereka yang turut melibatkan PRK DUN Bugaya.

Beliau berkata, tiada kerusi menang tanpa bertanding dengan pertembungan paling tinggi sebanyak 10 penjuru di peringkat Parlimen iaitu P.115 Batu, Kuala Lumpur manakala tujuh penjuru bagi DUN melibatkan N.47 Chenderiang, Perak.

Pada PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, seramai 21,173,638 orang pemilih terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa; 146,737 orang tentera dan pasangan; 118,794 anggota dan pegawai polis berserta pasangan; serta 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Mengikut pecahan jantina pula, 10,622,151 adalah pengundi wanita, manakala 10,511,487 adalah pengundi lelaki.

Loading...
Terkini