comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kabinet kecil percepat laksana dasar kerajaan

Datuk Seri Johari di Majlis Jalinan Kasih Sahabat Usahawan AIM Titiwangsa di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Pengecilan saiz Kabinet sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini akan menjadikan keputusan dalam melaksanakan dasar kerajaan lebih cepat dan mantap.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu berasas kerana boleh menjimatkan kos memandangkan negara juga sedang berdepan dengan cabaran semasa yang besar iaitu masalah ekonomi.

“Kalau dapat mengecilkan saiz kabinet (kerajaan), kita mampu menjadikan pasukan itu lebih mantap disebabkan tidak terlalu besar. Hendak buat keputusan pun cepat dan boleh laksanakan sesuatu polisi dengan segera kerana tidak perlu membabitkan banyak kementerian.

“Maksudnya, orang sama boleh laksanakan pelbagai polisi. Kadang-kadang polisi bagus, tetapi hendak laksanakan lambat. Misalnya Kementerian Ekonomi boleh gabung dengan Kementerian Kewangan sebab masih dalam bidang kerja sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Jalinan Mesra Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Titiwangsa di Dewan Komuniti, Taman Maluri, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Johari berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang memberi komitmen akan mengecilkan saiz Kabinet dengan keanggotaannya turut diisi dengan tenaga teknokrat.

Menurutnya, langkah mengecilkan saiz Kabinet juga dilihat mudah diuruskan berikutan kurang budaya berpolitik.

“Saiz kabinet kecil ini senang, kurang berpolitik, mesyuarat pun cepat habis, jadi pelaksanaan boleh buat awal dan cepat sebab kita hendak kejar masa dan kita tertinggal empat tahun setengah kerana berdepan dengan Covid-19 (selama) dua tahun.

“Kalau kita sudah tertinggal ke belakang, kita terlepas menarik pelaburan yang dapat memberi peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Kewangan II itu juga bersedia menggunakan kepakarannya dalam bidang korporat jika diberi mandat menjadi menteri selepas PRU-15 ini.

“Perkara itu perlu tanya siapa Perdana Menteri nanti. Tetapi, saya secara peribadi memang berminat untuk menggunakan segala kepakaran saya yang sudah bergiat dalam bidang korporat ini.

“Saya juga pernah menjadi wakil rakyat dan akan terus menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negara di peringkat nasional,” katanya.

Selain itu, mengenai pengundi muda terutama atas pagar, beliau turut bimbang kerana golongan terbabit mudah dipengaruhi dengan isu di media sosial berbanding fakta.

“Pengundi atas pagar ini memang belum buat keputusan dan mereka akan berpandukan isu yang berlegar atau dibuat-buat dalam media sosial.

“Jadi, ini adalah isunya dan akan menjejaskan mereka sebab tidak sempat hendak cari kepastian.

“Sebab itu, saya akan terus berjumpa pengundi dalam tempoh berbaki ini supaya menerangkan kepada mereka perkara sebenar. Apa yang saya selalu tegaskan adalah mereka perlu sentiasa buat analisa terhadap rekod setiap calon,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini