KLANG: Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di pusat mengundi Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat, dekat sini tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai seorang petugas SPR di pusat berkenaan tidak sedarkan diri pada jam 12.15 tengah hari.
“Lelaki berkenaan adalah petugas SPR di Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat, Klang dilaporkan tidak sedarkan diri di atas kereta buggy ketika sedang bertugas di tempat itu.
“Pihak ambulans membawa mangsa ke zon kecemasan HTAR Klang untuk rawatan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan awal pihak polis dan keterangan isteri mangsa menyatakan bahawa mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, HTAR Klang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.