comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: KDM Umum Calon Di Kimanis Dan Sepanggar

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony (tengah) memegang tangan calon Kimanis, Amat Md Yusof (dua dari kiri) dan Jumardie Lukman (tiga dari kanan) bertempat di Pejabat Parti KDM

PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) setakat ini mengumumkan akan bertanding empat kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata dua calon bakal bertanding di Kimanis dan Sepanggar diumumkan semalam, manakala dua calon lagi sudah diumumkan pada Jumaat lalu iaitu Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong yang bertanding di Parlimen Kota Kinabalu dan Datuk Wetrom Bahanda di Kota Marudu.
Dua calon yang diumumkan hari ini, Peter berkata pesara pegawai kerajaan, Amat Md Yusof, 63, bakal bertanding di Kimanis.

Manakala Jumardie Lukman, 40, ahli politik muda dan bekas setiausaha sulit Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah pula diumumkan bakal bertanding di Parlimen Sepanggar.

Menurutnya, pengumuman calon KDM akan dibuat secara berperingkat berikutan pihaknya menerima banyak permohonan termasuk dari pemimpin tempatan berpengalaman untuk menyertai parti terbabit.

“Di peringkat parti kita mempunyai jawatan kuasa penapisan calon jadi sebab itu kenapa kita buat secara berperingkat dan calon yang masih perlu diperhalusi (kriteria kelayakan calon) sebelum kita akan umumkan.

“PRU-15 ini berbeza dengan PRU-14 yang lalu. Bukan sahaja mereka (rakyat) akan menilai sesebuah parti tersebut tetapi mereka akan lihat latar belakang calon.

“Sama ada calon yang kita turunkan sama ada mereka ini calon berpotensi atau tidak, inilah yang akan dinilai oleh pengundi nanti.

“Bertanding di empat atau lima penjuru itu tidak ada masalah yang penting calon yang kita turunkan ini berpotensi memberi cabaran kepada parti bertanding di tempat tertentu,” katanya dalam sidang media khas di Pejabat Parti KDM, hari ini.

Dalam pada itu, Peter turut memberitahu pemberita bahawa parti KDM yang dipimpin beliau akan menyokong mana-mana pihak yang membentuk kerajaan hari ini (government of the day).

“Dasar perjuangan dan matlamat parti ini sejak kita tubuhkan ini adalah sebuah parti yang menghormati dan menyokong kerajaan hari ini yang mentadbir sama ada diperingkat negeri mahupun persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Peter ketika ditanya pemberita mengenai status KDM berhubung kedudukan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berkata pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan berkenaan permohonan menyertai gabungan terbabit.

“Politik ini akan berubah dinamik akan berubah jadi mungkin mereka (GRS) memerlukan masa untuk mempertimbangkan kedudukan kami, mungkin selepas PRU-15,” katanya.

Loading...
Terkini