comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kemampuan BN tadbir negara baik, ada ‘track record’ – Wee

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika hadir berkempen untuk Calon BN Parlimen P009 Alor Setar, Tan Chee Hiong

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Naratif “Kestabilan dan Kemakmuran” yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berdasarkan kepada pembuktian pentadbiran yang baik dan teruji.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kesepakatan parti dalam BN selama hampir 70 tahun telah berjaya membangunkan negara.

Justeru mandat yang kuat dan stabil diperlukan bagi memastikan agenda pembangunan yang sudah dirancang dapat diteruskan pasca PRU-15.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor antara contoh bagaimana sebuah kerajaan yang stabil mampu untuk membawa keyakinan pelabur tempatan dan asing. Realiti ini perlu dibawa dalam PRU kali ini bagi membolehkan segala usaha pembangunan tidak direncatkan.”

“Pakatan Harapan (PH) telah menyekat pelbagai program bantuan yang telah dibawa BN sebelum ini. Tempoh 22 bulan selepas PRU-14 membuktikan mereka tidak mengotakan segala janji yang dibuat dalam manifeso,” katanya ketika hadir berkempen untuk Calon BN Parlimen P009 Alor Setar, Tan Chee Hiong di sini.

MCA katanya terlibat secara langsung dalam merangka manifesto PRU-15 BN, yang diyakini realistik dan menyentuh keperluan setiap rakyat Malaysia.

“Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini menunjukkan komitmen BN dalam memberikan tumpuan kepada setiap lapisan masyarakat. Kita perlu diberikan mandat untuk terus memimpin negara dan merealisasikan apa yang sudah kita bentangkan.”

Dalam pada itu, MCA juga katanya tidak mahu meletakkan sasaran kerusi untuk dimenangi bagi memastikan jentera dapat digerakkan bagi memaksimakan usaha mendapatkan sokongan pengundi.

“Saya anggap semua kerusi berhadapan persaingan sengit, barulah kita akan bekerja bertungkus lumus untuk memenangkannya. Kita tidak boleh terlalu senang dan akhirnya lalai dalam memastikan rakyat menilai dan mengundi kita.”

Loading...
Terkini