comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kemenangan di Padang Serai akan beri semangat baharu kepada BN – Sivaraj

Calon BN Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj.

KULIM: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 Parlimen Padang Serai, dijangka dapat memberi semangat baharu kepada ahli dan kepimpinan gabungan itu di seluruh negara.

Calon BN Parlimen Padang Serai Datuk C. Sivaraj berkata walaupun politik negara ketika ini masih berada dalam situasi yang tidak menentu, beliau percaya masyarakat di negara ini mempunyai ‘soft spot’ terhadap gabungan itu.

“Cuma disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan dan tidak disukai rakyat, kita ditolak pada PRU-15 lepas sebagai pengajaran kepada kita.

“Saya percaya masyarakat Padang Serai akan memberi BN satu peluang untuk kita membetulkan parti dan juga negara dan gelombang ini saya percaya akan bermula di Padang Serai kalau diizinkan oleh pengundi-pengundi di sini,” katanya ketika ditemui berkempen bersama anak muda di sini, hari ini.

Selain itu, bekas Ketua Pemuda MIC itu berkata walaupun BN bersama dengan Kerajaan Perpaduan, beliau percaya senario di peringkat nasional itu dijangka tidak memberi impak dan pengaruh terhadap pengundian di Parlimen Padang Serai.

Katanya BN mempunyai peluang untuk memenangi kerusi tersebut, walaupun ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai dan beliau perlu bekerja keras bersama-sama jentera untuk meraih sokongan pengundi.

“Cabaran kita banyak, antaranya hari mengundi itu ialah hari bekerja, tetapi saya percaya kita boleh melihat sokongan penuh kalau pengundi kita bersama-sama dengan parti dan keluar mengundi untuk kita.

“Saya tidak ingin berkata ini jalan yang senang untuk menang, tapi saya percaya dengan tekad usaha, komitmen, dedikasi dan kerja keras kita bersama kepimpinan BN Padang Serai, saya rasa ia ada kemungkinan dan boleh berlaku dan kami boleh mulakan gelombang dari sini,” katanya.

Pengundian di Parlimen Padang Serai sebelum ini ditangguhkan pada 7 Dis ini dan undi awal 5 Dis berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya, 69, pada 16 Nov lalu. – BERNAMA

Loading...
Terkini