comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kenyataan G70 tidak wakili profesor seluruh negara – Ismail Sabri

FOTO: NSTP

BERA: Kenyataan Kumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, hanya mewakili sebahagian kecil profesor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kenyataan G70 itu tidak menggambarkan sokongan ahli akademik seluruh negara.

Malah perkara itu juga sudah dinafikan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

“Saya sudah berhubung dengan Presiden MPN dan beliau menafikan kenyataan itu mewakili profesor seluruh negara.

“Kenyataan kumpulan itu tidak mewakili keseluruhan profesor di negara ini dan dianggap hanya untuk mengelirukan rakyat,” katanya ketika ditemui di Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Kerayong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Program berkenaan dihadiri lebih 1,000 pengunjung itu menampilkan persembahan artis terkemuka.

Beliau berkata, sudah menjadi lumrah kerana tidak semua profesor akan memberikan sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri.

Semalam, G70 menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasinya yang cemerlang.

Dalam sidang media di Petaling Jaya, Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Prof Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud, berkata hanya Anwar tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti untuk memimpin masyarakat majmuk. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini