comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kerusi Machang rebutan 4 calon

Oleh Nurul Amalina Zainudin

MACHANG: Pengerusi Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bakal mempertahankan kerusi parlimen Machang.

Beliau berdepan saingan tiga lagi calon yang menamatkan proses penamaan di Pejabat Tanah dan Jajahan Machang.

Penyandang kerusi itu bakal menentang Ketua Armada Bersatu Machang, Dr. Wan Ahmad Fasyhal Wan Kamal selain calon PKR Dr. Rosli Allani Abdul Kadir dan calon Putra, Mejar (B) Muhammad Seman.

Terdahulu, Datuk Ahmad Jazlan tiba di Pusat Penamaan Calon sekitar jam 8.55 pagi dengan diiringi tiga ribu penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Kertas penamaannya diterima pihak SPR pada jam 9.10 pagi, selepas calon Putra dan Pas, masing-masing pada jam 9.02 pagi dan 9.06 pagi.

“Semuanya akan memberi persaingan, kita tidak boleh pandang rendah mana-mana pihak kerana mereka juga mempunyai peluang, rakyat akan menentukan, kita mesti beri persembahan terbaik, meyakinkan rakyat supaya kita menjadi pilihan yang pertama,” ujarnya ketika ditemui selepas pengisytiharan penamaan calon.

Untuk rekod, Datuk Jazlan mempertahankan kerusi parlimen Machang selama dua penggal.

Pada PRU 14 yang lalu, beliau memenangi kerusi terbabit dengan majoriti dua ribu 824 undi menewaskan calon daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). – BULETIN TV3

Loading...
Terkini