comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Khairy tak ambil hati dimarahi ‘akak’ minta bantuan

Foto: Khairy Jamaluddin/Facebook

PUNCAK ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tidak ambil hati dengan tindakan seorang wanita yang ‘mengajar’ dan memarahi beliau ketika mengadakan sesi ‘walkabout’ di kawasan itu, semalam.

Ia susulan tular video di aplikasi TikTok seorang wanita yang bertanya apa bantuan yang boleh diberikan segera kepada dirinya selain mempersoalkan apa dibuat Khairy sepanjang menjadi menteri.

Khairy berkata, situasi itu bukan masalah buat dirinya selain menegaskan adalah menjadi kesalahan dalam pilihan raya jika menghulurkan sesuatu.

“Saya tak ada masalah mengenai apa yang berlaku. Kita berdepan dengan pengundi. Saya buat ‘walkabout’ tidak ada tapisan. Kita jumpa dengan segenap lapisan masyarakat dan bukan semua yang sokong kita. Ada yang tak puas hati. Mereka bebas bercakap apa saja.

“Dalam kes semalam, ada akak tu minta bantuan supaya diberikan pada hari itu (semalam) juga. Saya kata tidak boleh sebab kesalahan pilihan raya. Tak boleh bagi apa-apa.

“Saya tengok pada atap kedai dia, terus dia cakap, kalau begitu bagi sekarang. Saya cuba terangkan itu kesalahan pilihan raya kalau nak bagi sekarang. Saya beritahu dia, kita boleh bincang kemudian. Selepas itu dia marah, tak puas hati. Tapi tak apalah, itu hak dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau menerima apa saja pandangan yang dilontarkan oleh pengundi di kawasan itu.

“Sebagai calon kita kena terima apa saja pandangan. Tapi kita kena beritahu juga kalau nak sesuatu pada hari sama ia kesalahan,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini