comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Khianat : Poster PM di Kuala Kedah pula dibakar

Papan poster wajah Ismail Sabri dan Dr Mashitah di Kampung Gelong Air, Mukim Gunong mempunyai kesan terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.. Foto ihsan pembaca

ALOR SETAR: Dengan tiga hari lagi ke hari pengundian Sabtu ini, perbuatan khianat merosakkan bahan kempen calon bertanding, semakin menjadi-jadi.

Terbaru, polis menerima laporan kejadian poster kempen wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, pula cuba dibakar semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata laporan dibuat petugas BN pada jam 3 petang semalam yang menyedari poster di Kampung Gelong Air, Mukim Gunung itu mengalami kerosakan.

Katanya, pengadu yang mengesyaki berlakunya unsur khianat terhadap poster kempen BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  segera membuat laporan polis.

“Susulan itu polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar.

“Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti mereka yang terbabit melakukan perbuatan membakar poster itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, pihaknya kesal dengan perbuatan khianat yang berlaku itu.

“Saya harap tiada lagi perbuatan seperti itu berlaku lagi selepas ini.

“Semua penyokong parti perlu berkempen secara berhemah dan elak melakukan provokasi yang boleh mendatangkan ketegangan ketika berkempen” katanya – BULETIN TV3

Loading...
Terkini