comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Kita tidak campur urusan mahkamah – Tok Mat

Calon Barisan Nasional Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua dari kiri) sedang berbual dengan bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri S. Subramaniam (kanan) ketika berkempen di pasar malam Taman Tuanku Jaafar, Senawang. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan BN tidak akan sesekali mencampuri urusan mahkamah jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau berkata, menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan BN akan membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada penjara, selain menutup salah laku membabitkan pemimpin UMNO.

“Cuba lihat rekod BN, sewaktu memerintah dulu ramai pemimpin parti yang dipenjarakan, Datuk Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Seri Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor).

“Walaupun kes mereka sama seperti yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) apabila menang saja banyak kes membabitkan pemimpin mereka digugurkan atau ditarik balik (pertuduhan di mahkamah).

“Jadi, siapa yang salah guna proses undang-undang (mahkamah). Di zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang, Datuk (Seri) Najib masuk penjara dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN), kesnya masih berjalan dan tidak ditarik balik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menemui peniaga dalam kempen PRU-15 di Pasar Malam Taman Tuanku Jaafar, Senawang, dekat sini, lewat petang tadi.

Meskipun dalam keadaan hujan lebat, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, tetap meneruskan kempen dan menyantuni peniaga serta orang ramai di pasar malam terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berharap orang ramai tidak terkeliru dan mudah percaya dengan dakyah serta propaganda pemimpin berkenaan yang cuba mengelirukan pemikiran rakyat khususnya orang Melayu.

“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan tindakan pemimpin pembangkang yang sengaja buat dakyah, sebaliknya berfikir secara matang.

“Harus diingat, selepas mereka (pemimpin pembangkang) gagal menunaikan segala janji yang dibuat selepas menang PRU-14 dulu, kini mereka mencari modal menyerang dan mencari isu-isu peribadi pemimpin UMNO tertentu.

“Orang UMNO dan jentera parti diharap tidak terpedaya dan kepada pengundi, saya yakin mereka dapat membuat penilaian sewajarnya. Jangan kata bila menang UMNO akan lepaskan orang itu (penjara), kita tidak akan buat begitu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya menjalankan kempen secara berhemah dengan tidak menyerang atau menyentuh mana-mana pihak atau individu tertentu.

“Saya sudah minta anak buah supaya tidak memburukkan sesiapa, kita kempen secara sihat, kita cuba menyantuni seramai mungkin pengundi.

“Saya hanya cakap bahawa pengundi perlu beri peluang kepada BN untuk kita menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil selepas PRU-15 ini.

“Cukup-cukuplah kerosakan kepada negara yang telah berlaku selama empat tahun lebih ini, kita tidak mampu lagi berada dalam keadaan sebegini,” katanya.

Mohamad yang pertama kali bertanding di peringkat Parlimen berdepan saingan daripada empat pencabar lain iaitu Mohd Nazree Mohd Yunus daripada Perikatan Nasional (PN), Jufitri Johar (PH), Ramly Awaluddin (PEJUANG) dan S Tinagaran (PSM). – BERITA HARIAN

Calon-calon di P131 Rembau
Loading...
Terkini