comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: KJ yakin Tok Mat menang kerusi Rembau

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yakin Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan akan berjaya mengekalkan kerusi itu buat BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Khairy berkata, ia mengambil kira pengalaman dan jasa calon BN itu di kawasan berkenaan.

“Insya-ALLAH saya percaya Tok Mat (Datuk Seri Mohamad) seorang calon yang berwibawa. Rembau pun kawasan yang saya jaga baik selama tiga penggal. Saya doakan kemenangan Tok Mat di Rembau.

“Tok Mat bukan orang asing di sana. Dia ketua bahagian (UMNO) dan saya timbalan ketua bahagian. Sebagai Menteri Besar pun banyak jasa dia untuk kawasan Parlimen Rembau dan dia popular. Saya yakin dia boleh berjaya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.

Pada PRU kali ini, beliau tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau untuk memberikan laluan kepada Mohamad bertanding di kerusi berkenaan.

Mengenai sentimen penduduk Sungai Buloh terhadapnya, calon BN kerusi Parlimen itu masih menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ biarpun yakin dapat menawan kerusi Parlimen berkenaan.

Apa pun, beliau akan melakukan yang terbaik dengan berjumpa seramai mungkin pengundi secara bersemuka atau mendekati mereka melalui media sosial lebih-lebih lagi memasuki separuh masa kedua tempoh berkempen.

“Dalam hidup mesti yakin, tapi keyakinan mesti diimbangi dengan harapan yang realistik. Ini kawasan susah untuk BN. Majoriti (pada PRU-14) bukan sikit 26,000 (undi), kawasan bandar dan boleh dikatakan kubu Pakatan Harapan (PH). Setiap hari isteri saya turun padang (bantu kempen),” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan calon PH, Datuk R Ramanan bahawa pengundi Sungai Buloh patut memilih pemimpin yang menjaga kawasan dan bukan sibuk berpolitik mahu menjadi Perdana Menteri, Khairy berkata, menjaga kawasan dan mempunyai cita-cita di peringkat kebangsaan tidak menjadi masalah.

“Untuk jadi pemimpin di peringkat nasional, kita mestilah rajin untuk jaga kawasan sendiri, ini sistem Parlimen kita, kita juga boleh jadi pemimpin peringkat pusat. Selama ini saya menteri, tapi jaga kawasan saya dengan baik, jadi di Sungai Buloh pun boleh buat benda yang sama.

“Sekiranya dilantik di peringkat Kabinet sekali pun saya rasa tidak ada masalah untuk jaga kawasan, mungkin lebih daripada itu. Dengan pengaruh sebagai menteri, lagi banyak penyelesaian yang saya boleh bawa ke kawasan Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

Sementara itu, ditanya hasratnya mahu menjadi Perdana Menteri yang dikritik bercita-cita tinggi sama seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, tidak salah untuk siapa-siapa mempunyai cita-cita.

“Saya cuma beri bayangan yang saya ingin berkhidmat untuk negara dan juga untuk rakyat jika diberi peluang kemudian hari untuk mengemudi kerajaan. Kita nak tunjuk UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin yang boleh menerajui kerajaan satu hari nanti,” katanya.

Loading...
Terkini