comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Lebih 360,000 kertas undi pos dikeluarkan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Sejumlah 365,686 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada yang berhak untuk mengundi secara pos seperti diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos bermula sejak 7 November lalu oleh Petugas Pilihan Raya di kesemua 222 kawasan Parlimen dan 117 DUN atau Dewan Negeri.

“Kesemua 365,686 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 299,097 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli atau Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) manakala 48,109 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara).

“15,739 kertas undi pos kategori Borang 1C (Agensi dan Organisasi) serta 2,741 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.

SPR turut mengingatkan pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi serta mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2).

Menurutnya, kertas undi perlu dikembalikan segera kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi pada Sabtu ini (19 November).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

Loading...
Terkini