comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Lima individu ditahan, 17 kertas siasatan dibuka di Johor

JOHOR BAHRU: Seramai lima lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 57 tahun dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Katanya, polis menerima 70 laporan dengan 17 kertas siasatan dibuka setakat ini sepanjang tempoh berkempen,

“Kes paling banyak disiasat adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon bertanding, sebanyak sembilan kes.

“Lima ditahan sepanjang tempoh itu, termasuk kes membakar khemah di bilik gerakan sebuah parti di Taman Mutiara dekat Batu Pahat, kelmarin.

“Turut ditahan seorang lelaki yang didakwa membawa dua pucuk pistol, yang dilaporkan berlaku di Batu Pahat, namun siasatan mendapati pistol berkenaan palsu dan lelaki terbabit juga kurang siuman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam tempoh sama, pihaknya mengeluarkan 1,927 permit kepada calon PRU-15 di negeri ini untuk berkempen, dengan lima daripadanya ditolak.

Katanya, penolakan permit dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk aspek keselamatan.

“Selepas penerangan diberikan kepada calon bertanding, mereka memahami dan tiada sebarang isu berbangkit yang timbul.

“Polis Johor juga telah menubuhkan 81 pasukan Op Cantas Khas membabitkan seramai 81 pegawai dan 237 anggota untuk memantau kemungkinan berlakunya sebarang kekacauan sepanjang tempoh PRU-15,” katanya.

Loading...
Terkini