comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Manifesto BN tidak janji bulan dan bintang – Mahdzir

Oleh Kumaran Rajamoney

PADANG TERAP: Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menumpukan kepada usaha membantu rakyat dalam setiap aspek, menggunakan pendekatan yang realistik dan terancang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti itu sentiasa realistik dan bukannya menjanjikan ‘bulan dan bintang’ seperti parti politik lain.

“Pakatan Harapan (PH) pada 2018 menjanjikan ‘bulan dan bintang’ dalam manifestonya pada 2018. Sekarang mereka ulang, tapi ‘bintang’ sudah tiada, hanya ada ‘bulan’. Kalau turun sikit janjikan ‘awan’ pun orang tak mahu.”

“Mereka sudah berjanji dengan rakyat tetapi tidak boleh laksanakan jadi sebab itu BN pergi ke arah yang praktikal dan tidak perlu merepek-repek,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa manifesto BN yang dibentangkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam tidak relevan.

Mengulas mengenai tawaran berkaitan kebajikan pekebun kecil dalam manifesto parti politik lain, Datuk Seri Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata umumnya rakyat tahu bahawa ia merupakan satu agenda yang telah lama dibawa oleh BN.

“Dulu harga lantai getah pun BN yang bawa dan sekarang kita bawa lagi sekali kerana mahu harga yang diberikan kepada pekebun lebih bersesuaian pada ini.

“Rancangan ini sudah beberapa kali dibawa tetapi Parlimen dibubarkan pula, jadi selepas ini kalau diizinkan Allah, BN dapat membentuk kerajaan kita akan teruskan mencari formula untuk harga lantai getah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Daerah Padang Terap di Kampung Baru Padang Sanai, hari ini.

Loading...
Terkini