comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Mas Ermieyati buktikan beliau bukan ‘katak’, pengkhianat

Oleh Baharuddin Mohamed

ALOR GAJAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap kejayaannya mempertahankan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan memadamkan perkataan ‘katak’ dan pengkhianat dalam hidupnya.

Tegas beliau, kejayaan yang dikecapinya bukan mudah setelah melalui pelbagai cabaran dan dugaan ketika berkempen.

Katanya, kemenangan tersebut membuktikan tiada yang mustahil jika seluruh jiwa ikhlas bekerja dan berkhidmat untuk masyarakat.

“Bukan mudah sebenarnya kerana perlu melalui pelbagai cabaran getir. Dengan kemenangan ini saya berharap dapat memadamkan perkataan ‘katak’ dan pengkhianat dalam hidup saya.

“Tidak ada yang mustahil sekiranya kita berkhidmat dan bekerja untuk masyarakat. Segalanya akan menjadi mudah apabila diizinkan olehNya.

“Terima kasih kepada pengarah jentera pilihan raya serta pengurusan jentera yang baik berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu yang mendorong kepada kejayaan saya hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini.

Malam tadi, Mas Ermieyati diumumkan kemenangannya apabila meraih 25,604 undi dengan majoriti 4,411 undi.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka itu berkata, dia komited untuk terus bekerja bagi memastikan segala perancangannya mengikut pelan tindakan secara berperingkat.

“Sebagaimana yang saya katakan bahawa saya akan terus bekerja. Saya akan memastikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang mengikut seperti apa yang saya rancangkan.

“Terima kasih kepada pengundi yang matang, walaupun ada antara mereka penyokong Pakatan Harapan (PH) dan UMNO. Mereka tetap memilih saya mungkin sebagai mengiktiraf kerja ataupun pretasi kerja saya selama ini,” ujarnya.

Loading...
Terkini