comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Mesyuarat khas bincang tarikh PRU Padang Serai, Jumaat ini

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai pada Jumaat ini.

Ia berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi parlimen berkenaan, M Karupaiya, 69, hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.

“SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon (terbabit),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Padang Serai itu meninggal dunia di Hospital Kulim, Kedah dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Datuk Ikmalrudin berkata, SPR mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang,” katanya.

Pada PRU-15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (Parti Pejuang Tanah Air – PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional – BN), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional – PN), Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan – WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS).-BULETIN TV3

Loading...
Terkini