comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: MIC Gugur Calon Terpalit Kontroversi

 

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran. – FOTO: NSTP

SUNGAI SIPUT: Bebas kontroversi adalah antara kriteria MIC dalam memuktamadkan senarai calonnya, yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata berdasarkan kriteria itu, MIC akan menggugurkan seorang dua calon yang sebelum ini dinamakan sebagai calon.

“Mereka yang sudah bekerja lama di tempat sebagai penyelaras, kita sudah tengok latar belakang mereka.

“Jika ada apa-apa yang mengakibatkan kontroversi di tempat mereka ingin bertanding itu, kita keluarkan mereka daripada senarai calon. Tak banyak pun, ada satu dua yang kontroversi.

“Senarai calon MIC ini akan diumumkan oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2022 Negeri Perak di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, MIC lebih realistik dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15 dengan tidak akan sewenang-wenangnya meminta pertambahan kerusi jika tiada potensi memenangi kerusi berkenaan.

Katanya, kekosongan kerusi di kawasan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), yang meninggalkan BN juga tidak begitu menarik minat MIC untuk bertanding di situ disebabkan dominasi populasi kaum Cina, yang boleh menipiskan peluang kemenangan calon MIC.

“Kalau minta banyak kerusi untuk kalah, baik tidak usah kita minta. Seperti di kawasan GERAKAN yang banyak masyarakat kaum Cina, membuatkan kita MIC harus berfikir jika hendak bertanding di situ.

“Melainkan kalau kita dapat jaminan jasa baik pengundi kaum Cina untuk bantu kemenangan BN di situ, memang semua, bukan hanya MIC hendak bertanding di situ,” katanya.

Loading...
Terkini