comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Minta maaf Anwar, saya ‘terpaksa’ bertanding – Tian Chua

Tian Chua dan Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua memohon maaf kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akur dengan sebarang tindakan disiplin parti itu terhadapnya.

Ia selepas beliau ‘terpaksa’ bertanding sebagai calon Bebas dan mencabar calon partinya sendiri di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

 

Tian Chua mengakui faham dengan kekecewaan yang dirasai Anwar atas tindakannya itu.

Menegaskan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas semata-mata kerana mahu menyambung bakti sebagai Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yakin ia tidak akan menjejaskan hubungan persahabatannya dengan Anwar walaupun dilihat menikam parti itu.

“Saya harus menghormati kuasa Presiden. Saya memahami dilema Anwar, dia terpaksa menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden untuk mengikuti peraturan parti.

“Saya amat memahami kekecewaan beliau dan saya mohon maaf kerana terpaksa lakukan perkara yang menyedihkan dia.

“Namun, saya ingin tegaskan persahabatan saya dengan Anwar tidak akan berubah walau sedikit pun, walaupun dipengaruhi peristiwa politik semasa.

“Saya tetap menghormati dan menghargai pengorbanan beliau sebagai pemimpin, dan ucapkan semoga berjaya kepadanya dalam PRU-15,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam, yang dilaporkan berkata, Tian Chua secara automatik dipecat daripada PKR berikutan tindakannya bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Batu pada PRU-15.

Anwar yang meluahkan rasa kecewa dengan tindakan itu berkata Tian Chua tidak wajar memilih haluan itu dengan membelakangi keputusan parti.

“Kita akan ambil tindakan sewajarnya. Biasanya sebagai dasar (PKR), mereka yang bertanding sebagai calon Bebas atau meninggalkan parti atas apa jua alasan sekali pun akan secara automatiknya dipecat oleh parti,” katanya.

PKR mencalonkan P. Prabakaran mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Batu, sekali gus menjadi antara calon termuda pada PRU-15.

Tian Chua yang pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal, sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan senarai calon yang diumumkan kepemimpinan parti. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini