comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Mohd Ridhwan tidak tumpang populariti bapa

Calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd AliMELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata beliau tidak akan ‘menumpang’ populariti bapanya selaku Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Mengakui terdapat persepsi masyarakat berhubung perkara itu, Mohd Ridhwan berkata beliau mula membina kekuatannya tersendiri selepas dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya sejak empat tahun lepas.

“Untuk bergerak membawa mandat rakyat bukan kerja seorang tapi kerja berpasukan. Saya tak percaya satu individu boleh buat semua kerja (secara sendirian). Kita kena ada satu pasukan yang kuat.

“Apa pencapaian yang dibuat oleh pasukan lalu akan beri kelebihan kepada kita dan ia satu bukti kepada rakyat kita pernah buat kejayaan ke tahap membanggakan. Itu semangat yang ada dalam UMNO bahagian Hang Tuah Jaya ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Ridhwan adalah anak sulung kepada Mohd Ali, iaitu bekas Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 2020.

Pada PRU-15 ini, Mohd Ridhwan dijangka menentang Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Adam Adli Abd Halim dari Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Azrudin Md Idris dari Perikatan Nasional (PN).

Mohd Ridhwan berkata selepas BN gagal membentuk kerajaan pada PRU-14, beliau mula melakukan pelbagai transformasi di bahagian diketuainya itu dalam usaha meraih semula kepercayaan masyarakat termasuklah mengenal pasti kelemahan dan pendekatan digunakan untuk memberi impak yang lebih baik kepada pengundi.

“Menjadi satu motivasi kepada kepimpinan baharu (di UMNO bahagian Hang Tuah Jaya) untuk melakukan perubahan sekali gus menjadikan kita lebih bekerja keras bagi menepati citarasa dan jangkaan pengundi,” katanya.-BERNAMA

Loading...
Terkini