comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Mohd Shahiful mohon berehat jawatan Ketua Pemuda PAS Sik

Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir. – Foto: NSTP

ALOR SETAR: Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir membuat permohonan untuk berehat daripada jawatan itu dan semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Permohonan itu dibuat menerusi satu surat yang ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 November lalu.

Dalam surat berkenaan, Mohd Shahiful memaklumkan keputusan itu dibuat susulan video yang tular mengenai kenyataan beliau sebelum ini bahawa sesiapa mengundi BN, PH akan masuk neraka.

Katanya, permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan dalam video itu adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya, Perikatan Nasional (PN) amnya.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini