comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Muhyiddin pertahan kerusi dalam pertembungan 3 penjuru di Pagoh

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal berdepan saingan 3 penjuru di kawasan Parlimen Pagoh.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi parlimen tersebut bakal ditentang bekas Ahli Parlimen Muar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Iskandar Shah Abdul Rahman.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Konvensyen, Hub Pendidikan Pagoh, di sini .

Penyandang kerusi parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi calon pertama tiba di Pusat Konvensyen, Hub Pendidikan Pagoh kira-kira jam 8:57 pagi.

Calon Pakatan Harapan, Iskandar Shah tiba pada jam 9:05 minit pagi manakala calon Barisan Nasional Datuk Seri Razali Ibrahim tiba 5 minit kemudian.

Kesemua calon diiringi ribuan penyokong yang menzahirkan sokongan kepada mereka dengan laungan yang kuat, namun keadaan terkawal dan stabil.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi kerusi terbabit dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon daripada BN dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). – BULETIN TV3

Loading...
Terkini