comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Naik taraf Kuantan sebagai bandaraya pesisir pantai bertaraf antarabangsa

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUANTAN: Kuantan berpotensi dimajukan menjadi sebuah bandaraya pesisir pantai bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Calon Barisan Nasional Parlimen Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata, menjadi impian beliau untuk membawa limpahan pembangunan di kawasan itu, agar menjadi tarikan seluruh dunia.

Pembangunan infrastruktur katanya perlu dipertingkatkan bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan masyarakat dan pelancong.

“Kita perlu pertingkatkan lagi segala-galanya dan kalau kita lihat bahawa Kuantan ini sebuah bandar di pesisir pantai yang cukup menarik.

“Sekarang sudah menjadi Majlis Bandaraya jadi kita melihat dari segi bagaimana untuk memastikan keperluan asas dan juga kemudahan asas,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan nelayan di Jeti Nelayan Kampung Peramu di sini, hari ini

Menurut beliau, setiap pembangunan yang dirancang tidak meminggirkan mana-mana pihak termasuk nelayan.

Selain Teluk Cempedak beberapa kawasan lain di Parlimen Kuantan antaranya Pantai Kempadang dan Pantai Sepat juga boleh dipromosikan untuk menjadi lokasi tarikan pelancong.

Datuk Seri Ab Hamid antara calon muka baru yang ditampilkan BN untuk menentang penyandang kerusi Parlimen Kuantan daripada Pakatan Harapan, Fuziah Salleh.

Dua calon lain turut bertanding merebut kerusi terbabit iaitu Wan Razali Wan Nor dari Perikatan Nasional (PN) dan Anuar Mohamad Tajudin daripada parti Pejuang.

Loading...
Terkini