comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: Nama besar ‘tumbang’

FOTO: Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Kejutan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) apabila beberapa nama ‘besar’ tumbang di parlimen masing-masing.

Kejutan utama pastinya di Langkawi apabila Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempertahankan parlimen itu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Bekas Perdana Menteri paling lama itu hanya mendapat 4,566 undi manakala Mohd Suhaimi memperoleh 25,463 undi yang menang dengan majoriti 13,518 undi.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut tumbang di Gombak kepada calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari di Parlimen Gombak.

Azmin memperoleh 59,538 undi berbanding Amirudin sebanyak 72,267 undi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut kecundang di Parlimen Padang Terap apabila beliau sekadar memperoleh 17,258 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN), Ustaz Nurul Amin Hamid yang mendapat 28,217 undi.

Mahdzir sebelum ini adalah penyandang kerusi parlimen itu selama dua penggal.

Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama 11 penggal yang juga nama besar dalam Barisan Nasional, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li turut tewas dengan majoriti tipis 163 undi kepada Calon PAS, Mohd Azizi Abu Naim.

Ku Li memperoleh 21,663 undi manakala Mohd Azizi mendapat 21,826 undi.

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Zuraida Kamaruddin juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ampang apabila tewas kepada Calon Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail.

Zuraida hanya memperoleh 4,589 undi manakala Rodziah, 56,754 undi, Calon PN, Sasha Lyna Abdul Latif, 27,073 undi.

Pada PRU-14, Zuraida yang ketika itu mewakili PKR menang dengan undi sebanyak 54,307 mengalahkan calon BN, Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) sementara Tan Hua Meng dari Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit.

Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Zuraida sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit pertembungan sembilan penjuru pada pilihan raya kali ini.

Situasi mengejutkan juga berlaku di Permatang Pauh apabila kerusi yang disandang PH tewas selepas calonnya Nurul Izzah Anwar gagal mempertahankan kerusi itu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin juga tewas di Parlimen Sungai Buloh apabila memperoleh 48,250 undi.

Beberapa nama besar lain yang tewas ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pula tewas di Sungai Siput (19,791), Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (40,506) di Tambun, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir di Lumut (24,849).

Juga tewas Pengerusi MCA Perak, Dr Mah Hang Soon di Tanjung Malim (20,963), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tewas di Gerik (13,728) dan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa di Parit Buntar (17,828).

Juga tewas Nik Omar Nik Aziz yang bertanding di Pasir Salak (11,693), Khairul Anwar Harun di Pasir Salak, Dr. Hatta Ramli di Lumut (20,356) dan bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Samsul Iskandar di Bagan Datuk (16,230).

Sementara itu, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man juga tewas apabila hanya memperoleh 2,996 undi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini