comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRU-15: Noh Omar gugur, Khairuddin dan Che Abdullah wakili BN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menamakan calon bagi baki tujuh kerusi Parlimen yang tidak diumumkan sebelum ini, menampilkan dua calon langsung, masing-masing dari PAS dan bekas pemimpin PAS.

Dalam pada itu, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif sah tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang di Selangor dan Jempol di Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan malam ini, memaklumkan dua calon langsung itu adalah Datuk Che Abdullah Mat Nawi di kerusi Parlimen Tumpat dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus.

“Daripada tujuh kawasan ini, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan BN menampilkan dua calon secara ‘direct candidate’ atas sifat keterbukaan dan perpaduan,” katanya.

Che Abdullah adalah penyandang kerusi Parlimen Tumpat merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang digugurkan oleh PAS bagi PRU-15, manakala Mohd Khairuddin penyandang kerusi Kuala Nerus yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi digantikan Datuk Habibah Mohd Yusof yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Mohd Salim yang juga Pengerusi RISDA dan Ketua UMNO Bahagian Jempol pula digantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

Bagi Parlimen Kuala Pilah, calon BN adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah merangkap ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan, manakala calon bagi Bandar Tun Razak adalah Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen.

Kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur pula menampilkan Naib Presiden MIC, Datuk A Kohillan Pillay.

“Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh BN bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178.

“BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan ini, insya-Allah mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya.

Loading...
Terkini