comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PAS ‘gam’ pemimpin parti keluar kenyataan ekstrem – Hadi

Abdul Hadi semasa program Jelajah PN Best Grand Finale PRU-15 di Padang Astaka Chukai. – Foto: NSTP

CHUKAI: Mana-mana pemimpin dan penceramah PAS yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga mencemarkan imej parti itu ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan ‘digam’ daripada berceramah.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata tindakan itu diambil berdasarkan konsep dan dasar yang diamalkan parti itu.

Beliau berkata, PAS tidak mengamalkan cara yang kasar, sebaliknya menggunakan pendekatan demokrasi aman sejak dahulu lagi.

“Kita pantau mereka kerana PAS ada dasar iaitu menerang bukan menyerang….itu konsep yang kita bawa.

“(Jadi apabila ada) mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan menyerang kita ‘gam’ (dan) hentikan daripada ceramah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perikatan Nasional (PN) Best Grand Finale PRU-15 di Padang Astaka di sini malam ini.

Ketika ditanya jumlah pemimpin yang dikenakan tindakan sedemikian, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, terdapat beberapa individu dikenakan tindakan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian ada kalanya berlaku kerana provokasi dan mereka seharusnya tidak terikut dan perlu bijak menangkis soalan diberikan atau berhati-hati ketika membuat ceramah.

“(Kita) mengambil pendekatan damai (iaitu) menerang bukan menyerang,” katanya.

Sebelum ini, tular video kempen berdurasi 28 saat mengenai Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, yang mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 akan masuk neraka.

Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak menyebabkan Mohd Shahiful kemudian membuat permohonan maaf .

Selain itu, klip video berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu turut tular di media sosial apabila pelakon filem remp-it, Zul Huzaimy mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih orang kafir harbi.

Pelakon itu kemudian membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam ceramah itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini