comscore
Tumpuan :
Politik

PRU-15: PAS ingatkan ahli terus bersama, ikut arahan pemimpin

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahlinya supaya terus bersama dan mengikut arahan pucuk pimpinan ketika sedang diuji dalam perjuangan ketika ini.

Tuan Ibrahim berkata, ketika ini, semua sedang diuji dalam perjuangan.

“Di mana waktu ribut tengah kuat, ikat tali keledar, duduk di tempat masing-masing, dengar dan ikut arahan.

“Jangan ada yang buka tali keledar kerana merasa selamat dan kuat.

“Jangan ada yang cuba membantah arahan dan merasa lebih tahu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Ingatnya lagi, jangan ditinggalkan tempat duduk masing-masing kerana berasa kuat untuk melawan gelombang ribut ini.

“Telah banyak kapal yang karam, telah ramai yang terhumban, telah ramai yang menderita penyesalan dan telah ramai yang dilaknat Tuhan.

“Berada dalam bahtera besar perjuangan akan sering diuji. Menuntut kesabaran tinggi. Kekuatan rohani, ketabahan jasmani dan aqli. Rasional dalam tindakan, jiwa besar sebagai anggota haraki,” katanya.

Terdahulu Perikatan Nasional (PN) malam tadi mengumumkan akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman calon itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Muhyiddin berkata, bagi peringkat Parlimen, Bersatu akan bertanding di 74 kerusi; PAS (64 kerusi); Gerakan (20 kerusi) dan Bersekutu (11 kerusi). – HARIAN METRO

Loading...
Terkini